Cursors

Monday, June 7, 2010

Ketahuilah kaedah pencegahan kanser wanita


Pencegahan Kanser Pangkal Rahim

KANSER SERVIKS (PANGKAL RAHIM) BOLEH DICEGAH


Kanser serviks (pangkal rahim) adalah salah satu jenis kanser yang boleh dicegah. Walau bagaimanapun disebabkan oleh kurang pengetahuan di kalangan wanita terutama wanita-wanita di negara kurang maju dan yang sedang membangun, kadar kejadian kanser serviks masih lagi tinggi. Di negara-negara maju , kadar kejadian dan kematian akibat kanser serviks adalah lebih rendah disebabkan oleh kesedaran dan langkah pencegahan yang diamalkan oleh wanita-wanita di sana. Kunci kepada pencegahan kanser serviks adalah Pap Smear. Secara keseluruhannya kadar kesedaran wanita di Malaysia adalah meningkat tetapi belum mencapai tahap yang memuaskan.


APAKAH PAP SMEAR


Pap Smear adalah ujian yang dijalankan melalui kaedah mengambil sampel atau calitan dari serviks. Pap smear adalah ujian yang sangat mudah dan tidak menyakitkan. Ianya boleh dilakukan di mana-mana klinik yang mempunyai peralatan ujian pap smear. Ianya tidak memerlukan bius dan pengambilan pap smear cuma memakan masa 2-3 minit sahaja.


BAGAIMANA PAP SMEAR BOLEH MENCEGAH KANSER SERVIKS (PANGKAL RAHIM).


Sebelum terjadinya kanser serviks, sel-sel di kulit serviks akan melalui beberapa siri perubahan di mana sel-sel tersebut menjadi tidak normal dari segi saiz, rupa bentuk dan juga susunan sel. Sel-sel yang tidak normal ini bermula dari dalam lapisan kulit serviks. Punca perubahan sel-sel di bahagian kulit serviks ini adalah akibat jangkitan sejenis virus yang dinamakan “Human Papilloma Virus” ataupun singkatan kepada HPV. Pra-kanser serviks adalah merujuk kepada peringkat di mana sel-sel yang tidak normal ini masih berada di dalam lapisan kulit serviks dan belum lagi merebak keluar . Peringkat para-kanser bukanlah kanser dan rawatannya juga berbeza dengan rawatan kanser. Peringkat pra-kanser ini jika tidak dikesan dan dirawat boleh bertukar menjadi kanser. Tujuan utama ujian pap smear adalah untuk menyaring dan mengesan peringkat pra-kanser ini. Hasil dari pengesanan ini, rawatan yang sesuai akan dapat dilakukan. Apabila peringkat pra-kanser ini dirawat, maka wanita tersebut tentu sekali akan terhindar dari mendapat penyakit kanser pangkal rahim. Inilah caranya bagaimana pap smear dapat mengurangkan kadar kejadian kanser serviks.


APAKAH PRA-KANSER PANGKAL RAHIM (SERVIKS)


Pra-kanser serviks ataupun dalam istilah perubatan “ Pre-cancerous state“ adalah keadaan di mana terjadinya sel-sel yang tidak normal di dalam lapisan kulit serviks. Di antara ciri-ciri kelainan yang terdapat pada sel-sel tersebut adalah saiz nukleas yang lebih besar, warna nukleas yang lebih hitam pekat dan terdapatnya proses pembiakan yang diluar kawalan. Sel-sel yang tidak normal ini walau bagaimanapun tidak terdapat di bahagian luar kulit serviks. Peringkat pra-kanser ini kalau tidak dirawat, sebahagiannya boleh bertukar menjadi sel-sel kanser. Pra-kanser bukanlah kanser tetapi adalah petanda-petanda awal untuk menjadi kanser di kemudian hari.


Terdapat tiga peringkat pra-kanser di pangkal rahim iaitu:


a. CIN 1

b. CIN 2

c. CIN 3


Di dalam istilah perubatan pra-kanser ini dinamakan CIN singkatan kepada “Cervical Intraepithelial Neoplasm”. CIN 1 adalah peringkat pra-kanser yang paling awal. Peringkat ini selalunya akan pulih dengan sendiri tanpa rawatan, dikatakan 60% daripada wanita-wanita yang mengidap CIN 1 akan pulih sepenuhnya dan cuma sebahagian kecil sahaja yang akan berkembang menjadi CIN 2 dan CIN 3. Manakala CIN 3 pula adalah pra-kanser yang paling serius. Setiap CIN boleh berubah-ubah samada kembali normal , bertukar kepada peringkat CIN yang lain ataupun ianya boleh kekal untuk jangkamasa tertentu. Perubahan dari satu peringkat ke peringkat yang lain memakan masa dari beberapa bulan sehingga beberapa tahun. Ini bergantung kepada beberapa faktor seperti jenis CIN , faktor genetik, jenis virus HPV dan juga sistem pertahanan badan wanita.


Kajian telah menunjukkan bahawa lebih kurang 12% dari CIN 3 akan menjadi kanser pangkal rahim jika sekiranya tidak dirawat. Tempoh masa pertukaran daripada CIN 3 menjadi kanser pangkal rahim ini adalah di dalam lingkungan 5 hingga 15 tahun, jarak masa ini adalah berbeza dari satu individu dengan individu yang lain.

1 comment:

  1. baru syer tahu..tq atas info yg berguna ini..tak rugi membaca..;p

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails